Aku mendapat pendidikan awal di Melaka semenjak sekolah rendah hingga ke tingkatan 3. Bapa aku seorang petani dan memelihara lembu dan kerbau untuk kegunaan menarik kereta lembu dan juga membajak sawah. Aku telah ditugaskan oleh bapa untuk menjaga lembu dan kerbau semenjak berumur 8 tahun. Setiap hari selepas balik dari sekolah dan makan tengahari aku diminta untuk membawa kerbau dan lembu meragut rumput.
Satu tugas yang harus dipikul setiap hari dari jam 2.00 ptg sehingga sebelum matahari terbenam. Tiada cuti kecuali sedikit pelepasan pada hari raya aidilfitri. Itupun selepas menyabit rumput untuk makanannya sepanjang hari raya. Semasa di Tingkatan 3 aku berazam untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat pergi kesekolah berasrama selepas SRP. Alhamdulillah aku mendapat keputusan yang agak baik dengan 11 Agregat. Pada tahun 1973 itu ramai juga rakan sekelas aku yang mendapat keputusan yang baik dari Agregat 5 hingga 10.
Kawan-kawan aku Zainal, Salim (arwah), Halim (arwah), Alias, Mohd Amin telah mendapat tawaran awal ke Sekolah Alam Shah sebuah sekolah asrama penuh yang menjadi idaman kepada semua pelajar aliran Melayu ketika itu. Tidak lama selepas itu aku menerima tawaran ke Sekolah Menengah Sains Selangor dan diminta melaporkan diri di Sekolah Alam Shah.
Hati riang tidak terkira kerana terlepas dari belengu mengembala kerbau dikampong. Bapaku membawa aku ke Kuala Lumpur pada hari pendaftaran pada bulan Februari 1973 dengan menyewa sebuah teksi. Semasa pendaftaran kami diberitahu untuk menumpang di SAS memandangkan SMS Selangor masih dalam peringkat pembinaan di Kg. Kongo yang terletak dibelakang SAS dan juga SM Teknik KL.
Sebagai batch perintis hanya terdapat 4 kelas dimana 2 kelas Aliran Melayu dan 2 kelas Aliran Inggeris. Bagi kelas aliran Melayu terdapat juga pelajar perempuan yang kemudiannya menjadi perhatian dikalangan pelajar-pelajar lelaki di SAS. Aku kerap menjadi perantara antara pelajar senior yang meminati gadis-gadis dalam kelas kami. Ada juga dikalangan pelajar SAS yang kurang senang dengan kedatangan kami tetapi ada juga diantara mereka yang lama kelamaan dapat menerima kami kerana ramai rakan-rakan kami yang berbakat dalam bidang sukan dan mewakili SAS dalam pertandingan bolasepak, hoki, ragbi dan lain-lain ko-kurikulum yang ada.
Pada awal sessi persekolahan tahun 1974, SMS Selangor masih belum siap sepenuhnya. Oleh itu, hanya pelajar aliran Inggeris yang berpindah ke sekolah baru manakala pelajar aliran Melayu diminta oleh Pengetua SAS ketika itu (Allahyarham Hamzah Salas) untuk terus belajar di SAS. Kami redha dengan keputusan tersebut maka kami berada di SAS dari Tingkatan 4 dan 5.
Kami ditempatkan di Kelas 5 Sc 6 dan 5 Sc 7. Ini menjadikan batch kami mempunyai 7 kelas Sains dan 2 kelas Sastera. Calun SPM teramai pada tahun 1974 dalam sejarah SAS. Ada juga yang mengelar kami kelas Sains banyak. Tapi kami tidak kisah dan terus belajar untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM dan setara dengan pencapaian lain-lain pelajar SPM pada tahun tersebut.
Selepas peperiksaan SPM ramai dikalangan kami menyambung pelajaran ke UPM dan Kolej Teknikal Kebangsaan (sekarang UTM). Aku dan ramai pelajar lain menyambung pelajaran ke kelas Matrikulasi yang pertama kali diadakan di SAS pada tahun 1975. Kelas ini dipadatkan selama setahun dibawah pengawasan UKM. Ianya sebagai penganti kelas Tingkatan 6 Aliran Sains di SAS. Selepas SAS berpindah ke Putrajaya pada tahun 2000, SAS KL yang menjadi nostalgia aku dan ramai kawan-kawan lain yang pernah belajar disitu menjadi Sekolah Menengah Sains Alam Shah hingga sekarang.
Alhamdulillah selepas peperiksaan Matrikulasi aku dan ramai kawan-kawan lain ditawarkan menyambung pelajaran ke UKM Lembah Pantai dalam Fakulti Sains dan juga Fakulti Perubatan. Selepas graduat dengan Ijazah Sarjana Muda aku dan kawan-kawan lain ditawarkan kerja di pelbagai sektor kerajaan maupun swasta. Ramai yang telah mencapai kemuncak kerjaya dan menjadi ketua Jabatan, CEO dan doktor pakar sebelum bersara apabila mencapai usia 60 tahun. Terima kasih kepada SAS dan UKM yang telah mendidik kami menjadi manusia yang berjaya dalam kehidupan masing-masing.
Nukilan Datuk Dr Rahim Sudin
ASAS 73-75